Rencana

Debat Politik: Akal Akar Berpulas Tak Patah

“KALAU debat bukan budaya kita, apa budaya kita?”, soalan yang pernah diajukan oleh Ketua Penerangan PKR merangkap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sewaktu membidas keengganan Datuk Seri Ismail Sabri berdebat pada tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun lalu.

Terbit suara nakal berlelucon, menjawab ringkas, “budaya kita ialah korupsi”.

Tidak boleh tidak, dalam hati kita mungkin bersetuju.

Setuju atau tidak, memang benar, debat politik atau debat semuka ala presidential debate masih belum menjadi amalan dalam konteks kempen politik negara, sekalipun ada beberapa siri debat yang dianggap menarik dan mendapat tumpuan rakyat Malaysia sebelum ini.

Kita pernah menyaksikan debat antara Rafizi Ramli dan Khairy Jamaludin, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabeery Cheek, malah terbaharu ialah debat Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak, sebelum bekas Perdana Menteri itu dipenjarakan dan Anwar pula diangkat menajdi Perdana Menteri Kesepuluh (PMX).

Berbeda dengan situasinya di Amerika Syarikat, kurang sebulan sahaja bakal menyaksikan debat calon parti Republikan untuk kali pertama bagi kempen 2024 yang berkehendak calon-calon melepasi fasa pengundian dan pendanaan bagi kempen mereka. Ia sudah menjadi suatu kewajipan di negara Uncle Sam bagi suatu debat secara terbuka antara calon dilakukan sepanjang tempoh kempen.

Untuk 9 Ogos nanti, dalam merungkai kekuatan kedua-kedua belah pihak antara saudara Rafizi dan Mohd Syahir Che Sulaiman, kedua-duanya mempunyai kekuatan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi antara penyokong parti masing-masing. Ini diterjemahkan apabila usai sahaja tangkap layar hantaran email Syahir kepada Rafizi, ia sudahpun mendapat perkongsian yang tertinggi di platform Twitter dan media sosial yang lain.

Jelas kehangatan kempen PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 ini sudah beralih kepada dua figura ini dan untung nasib parti masing-masing sepanjang kempen mungkin serba sedkit tergantung dengan prestasi hujahan yang ditunjukkan oleh mereka sewaktu debat.

Kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing. Mohd Syahir yang merupakan Ahli Parlimen Bachok, memulakan kerjaya sebagai akauntan pengurusan di Shell Malaysia Exploration & Production (SMEP) yang beroperasi di Sarawak, Malaysia. Kemudian beliau berkhidmat di Sime Darby sebagai Eksekutif Kanan, Kewangan Korporat dan menjadi Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Operasi Kumpulan. Seterusnya, beliau diberikan tanggungjawab sebagai Penolong Naib Presiden, Pembangunan Perniagaan dan Perancangan Strategik di Sime Darby Property sebelum menjadi Penolong Naib Presiden, Strategi Pembangunan (Malaysia Vision Valley) di syarikat sama.

Sementelah itu, beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Rafizi pula mempunyai pengalaman yang luas dalam arena perdebatan, sewaktu di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) lagi beliau sudah menjadi juara debat, kemudian menyertai dunia korporat di pelbagai perjawatan di PETRONAS, kemudian terlibat secara langsung dalam penubuhan Pakatan Harapan pada 2015, seterusnya menubuhkan INVOKE, syarikat pemula (startup) yang membangunkan produk-produk teknologi berasaskan sains data poltik di Malaysia.

Siapa boleh lupa pertembungan epik antara beliau dan Khairy Jamaluddin membahaskan isu PTPTN beberapa tahun yang lalu, Rafizi tampil dengan cadangan pendidikan percuma beliau, yang sehingga kini masih ditagih oleh rakyat. Maka, bersandarkan profil dan latarbelakang calon, apakah kekuatan mereka setara?

Ramai pemerhati menyatakan ia mungkin berat sebelah dek kerana pesona Rafizi dan kedudukan beliau selaku Menteri kabinet ketika ini, namun ia mungkin juga menjadi beban kepada beliau dalam menggalas jangkaan tinggi masyarakat yang akan menonton nanti.

Menariknya debat ini, pemilihan usul diberikan ruang kepada Mohd Syahir untuk memilih. “Malaysia Lebih Baik”, banyak komen mempersoalkan tidakkah usul debat ini seakan terlalu umum, malah definisi “Lebih Baik” itu juga tidak bersifat spesifik. Mungkin status quo yang ada sekarang dianggap “baik” untuk PAS dan ruang ini mungkin dijadikan sandaran untuk PAS menyatakan Malaysia Lebih Baik jika ditadbir oleh PAS. Namun sebegitu, ia tidak mungkin dapat melunaskan persoalan pokok berkaitan ekonomi, sara hidup, kebajikan rakyat dan dasar awam yang lebih terarah kepada pemulihan ekonomi. Pengundi sudah semakin bijak, maka, isu yang lebih spesifik perlu diajukan supaya debat lebih terarah dan berfokus kepada menyelesaikan masalah rakyat di akar umbi, malah khusus kepada masalah di negeri, kalau benar debat ini menyentuh perihal kempen dan manifesto PRU DUN ke-15 ini.

Rafizi dalam hantaran media sosialnya menyatakan RTM dan Astro AWANI bakal bekerjasama menyiarkan debat tersebut. Sudah pasti ia mendapat sambutan menggalakkan daripada warganet yang mengharapkan ia menjadi tontonan nasional, tanpa sebarang bias dan kecendurangan politik oleh media penyiar. Sinar Harian juga menawarkan ruang ini dalam slot Berani Semuka, maka menggambarkan debat ini mendapat sambutan hangat dan pastinya setiap agensi media gergasi berlumba-lumba mendapat jumlah tontonan yang tinggi hasil penyiaran debat ini kelak.

Maka, kempen PRN ini membawa impak kepada survivality media arus perdana dek gelora dan sambutan luar biasa media alternatif sehingga membawa kepada budaya tiktokerization yang dikatakan menjadi wahana kempen yang berimpak tinggi.

Soalnya, apakah masyarakat sudah bersedia untuk debat dijadikan budaya politik? Apakah calon sudah bersedia berdebat secara ilmiah dan bukan hanya tahu menelanjangkan susuk tubuh lawan atau memainkan isu 3R? Dalam sesi ceramah umum, sudah pasti boleh cakap berdegar-degar, namun kalau semuka dengan lawan yang lebih berkaliber, apakah ilmu didada sudah cukup?

Sudah-sudahlah bermain retorik dan menabur janji, rakyat sudah lelah dengan permainan politik masing-masing. Tiba masanya wakil rakyat menjadi gentleman, berani berhujah, dan mencadangkan penyelesaian kepada rakyat dalam waktu kritikal kempen pilihanraya seperti ini.

Ada yang membidas, di dewan Parlimen dan DUN, bukankah itu platform untuk wakil rakyat berhujah, apa perlunya lagi berdebat umum?

Soalnya, kalau di ruang legislatif itupun masih ada sebahagian yang terjerit-jerit, menyumpah seranah malah mencaci maki pihak lawan, sudah pasti kredibilti mereka sebagai pembuat dasar dipertikaikan. Jadi, debat satu lawan satu tanpa talian hayat daripada rakan-rakan parti, akan menjadi tanggungjawab besar di pundak YB Rafizi dan YB Syahir untuk membawa naratif kempen PRU DUN ke-15 yang lebih matang.

Konklusinya, debat ini bukan platform berseloka atau menghina pihak lawan, akan tetapi ruang membawa imej, kredibilti malah hujahan terhadap kelemahan dan kekuatan dasar sedia ada.

Jadi, sayang seribu kali sayang, andai platform debat ini dibazirkan begitu sahaja.

Sebagai pesanan mewakili rakyat yang inginkan perubahan, buat ahli politik yang akan berdebat di mana-mana platform sepanjang tempoh kempen PRN ini, molek dititipkan serangkap pantun buat renungan, “Kalau padi katakan padi, tidak hamba tertampi-tampi, Kalau jadi katakan jadi, Tidak kami ternanti-nanti”.

Berkempenlah dengan berhemah, tunaikanlah manifesto.

Moga ada harapan untuk rakyat yang memberi mandat dan menagih janji.

Sumber: Getaran.my, 5 Ogos 2023

Ismail Adnan, Ahli Bersekutu MASA merangkap pengacara Tv dan moderator di Radio Televisyen Malaysia.

Back to top button